Dan Jemariku Kembali Menari...

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Lama benar rasanya jari jemari saya tidak menari di atas papan kekunci komputer riba untuk mengemaskini blog yang tidak seberapa indah ini. Dan Alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk kembali menulis di blog yang sudah sebulan ditinggalkan. Cuti semester selama sebulan ini rasa begitu pantas sekali berlalu. Pejam celik, pejam celik. Saya sudah memasuki semester akhir pengajian.


SEKOLAH KEHIDUPAN
Selama sebulan bercuti, pelbagai peristiwa dan pengalaman baru yang ditempa. Semestinya setiap pengalaman itu adalah pelajaran buat saya. Bukankah kehidupan itu ibarat sebuah sekolah? (Seperti judul blog saya, Sekolah Kehidupan. Anda boleh memilih untuk tidak bersetuju jika anda mempunyai pandangan yang berbeza tentang kehidupan.) Setiap peristiwa dan pengalaman yang kita lalui itu sebenarnya tidak lebih daripada siri ‘pelajaran’ yang akan dilalui oleh setiap ‘pelajar’nya. Seterusnya, dalam setiap siri pelajaran sudah pasti ada ujian-ujianya. ‘Ujian’ inilah yang akan melayakkan kita ke peringkat seterusnya atau kekal dalam keadaan yang begitu sahaja.

Saya tidak berminat untuk mengulas lanjut soal judul blog yang telah saya pilih sejak saya mula membina blog ini. Hmm, kerana saya lebih berminat untuk bercerita mengenai pengalaman cuti semester terakhir saya. Sesudah ini, tiada lagi cuti semester buat saya. Saya pasti akan merindui ‘perasaan rindu’ pada kampung halaman mahupun rindu akan pulang ke kampus. Cuti semester kali ini saya manfaatkan benar-benar. Dan semester yang baru bermula ini akan saya jalani dengan kehidupan sebagai seorang mahasiswi bersungguh-sungguh.


TAHUN BARU
Tahun baru hijriah ini disambut dengan keadaan atau suasana yang penuh berbeza sekali. Terasa saya benar-benar telah didewasakan oleh masa dan juga pengalaman. Usia semakin meningkat. Ibu mula risau apabila kebanyakan teman-teman lama saya telah ramai yang mendirikan rumahtangga. Saya tidak pula terusik dengan khabar-khabar gembira yang diberikan teman melainkan tumpang gembira dan berdebar-debar tatkala menyedari diri saya sudah dewasa. Hehe…kelakar la pula rasanya. Dah dewasa rupanya saya ni.


PERKAHWINAN
Apa yang boleh saya respon pada ibu saya, saya masih belajar. Saya belum bersedia untuk berkongsi kehidupan dengan mana-mana lelaki lagi. Lagi-lagi setelah keterbukaan minda dan hati saya untuk berbicara tentang perkahwinan telah dimatikan oleh ibu sendiri saat ibu mengatakan ‘kahwin-kahwin’ dan ‘dakwah-dakwah’. Pada ibu saya, tidak mungkin saya akan bahagia apabila perkahwinan saya atas dasar dakwah.  Betulkah begitu?  Hmm, kebanyakan sahabat saya respon - lelaki membimbing dan wanita sebagai pendokong. Tak boleh wanita yang membimbing. Tapi kenapa?! Persoalan ini masih belum terjawab lagi.


ANTARA CINTA DAN CITA-CITA
Hmm, saya sendiri tidak kuat bilamana terpaksa sendirian menghadapi tentangan dan cabaran daripada semua pihak termasuk “mad‘u” saya. Rata-rata mad‘u saya sanggup korbankan agama demi cinta dan saya pula, saya sanggup korbankan cinta demi agama. (hmm, saya berfikir sejenak…pernahkah saya bercinta? Tidak pula…oh, ye…maksud saya…) Saya lebih cintakan orang alim dan bertaqwa, namun demi menyebarkan kalimah tauhid dan berkongsi keindahan Islam ini saya prefer mad‘u-mad‘u yang ‘belum beriman’ ini untuk dijadikan pilihan utama dalam mencari pasangan hidup.

Tetapi sahabat2, bukan sesuatu yang mudah untuk mengikhlaskan hati untuk cita-cita yang satu ini. Jiwa saya acapkali memberontak, hati seringkali terluka dan hanya bibir yang mampu berbohong, memaniskan wajah dengan senyuman. Jika diberi pilihan antara cinta dengan cita-cita, saya akan memilih….CITA-CITA. Kerana saya yakin dengan cita-cita saya itu, saya bisa mendapatkan kedua-duanya, cinta dan cita-cita.

*Cinta?? Hehe... Malu dan kelakar bila saya berbicara tentang c-i-n-t-a..Tetapi hidup kita memang tak dapat lari daripada perkataan itu. Seluas makna dan pengertiannya, saya tidak mengharapkan cinta yang lain melainkan cinta Ilahi. Apa lagi yang dikejar dalam kehidupan ini jika tidak cinta dan redha-Nya dan sekali gus mencapai impian untuk menjadi ahli syurga? Semoga kita dapat bertemu di syurga kelak. Insya ALLAH.
Wallahu'alam...


Ulasan

Ummu Syuhada' berkata…
Terima kasih..
Sekadar luahan hati..

Catatan popular daripada blog ini

Masuk Islam atau Masuk Melayu?

Apa Itu Ilmu Perbandingan Agama?

Mengapa Aku Diuji???