Tentang Hidup Ini...

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…


Kehidupan di dunia ibarat satu persekolahan. Manusia di alam dunia ini bagai pelajar yang sedang menimba ilmu untuk bekalan menghadapi kehidupan sebenar pada dewasanya (kehidupan akhirat). Hasil pelajaran pada zaman kanak-kanak ini jika baik pelajarannya, maka zaman remajanya (alam barzakh) akan terjaga baik.


Sesungguhnya siri pengajaran/pelajaran yang dipelajari dari sekolah kehidupan ini amat penting. Namun seringkali saya alpa sehingga mengabaikan ‘pelajaran’ (sebarang bentuk bekalan untuk hari yang pasti@akhirat. Cth: ibadah wajib diambil ringan, ibadah sunat jarang2 diamalkan kerana terlalu sibuk dengan aktiviti keduniaan dll) dengan mengejar kecemerlangan dalam aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum (hal ehwal dunia) ini tidak dinafikan kepentingannya sebagai nilai tambah yang perlu ada pada seorang pelajar (manusia) untuk cemerlang dari segi intelektual, sahsiah dan dilihat berketrampilan (cemerlang di sini membawa erti menjadi pendakwah yang bisa tembus semua saluran dengan adanya mukmin professional.)


Saya membahagikan tahap persekolah ini kepada tiga, iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi. Kita (manusia atau pelajar) semua adalah sama pada dasarnya. Yang menjadikan kita mampu naik dari satu tahap ke satu tahap persekolahan ini dan yang membezakan kita yang sama semua ini ialah  'keinginan' serta 'kemampuan' kita untuk menerima pelajaran dan mempelajari.


Pengajian tinggi ini saya ibaratkan sekolah bagi para alim dan ulama’. Sekolah menengah ini terdiri daripada pelajar2 yang beragama Islam, yang masih mengamalkan ajaran Islam. Sementara pelajar sekolah rendah pula terdiri daripada mereka yang tidak mahu menerima Islam (sama ada non-muslim mahupun muslim sendiri.)


Sebagai bandingan, sudah pasti manusia2 yang berkelulusan dari pusat pengajian tinggi lebih mudah memperoleh pekerjaan dan kehidupan yang baik. Pekerjaan yang bagus sudah tentu gaji juga bagus. Begitulah alim ulama’, semakin tinggi ilmunya (amal ibadahnya banyak), semakin banyak pula cabaran yang harus ditempuhi ibarat semakin dikejar akhirat semakin tinggi pangkat syaitan yang bertugas menggoda dan cuba menyesatkan mereka dengan perasaan cintakan keluarga melebihi tanggungjawab ‘menyampaikan’, mencucuk jarum ketakutan pada mereka untuk menyatakan kebenaran kerana diancam yang berkuasa dan mungkin juga melalui perasaan bimbang akan salah tanggapan masyarakat (tidak terkecuali muslim sendiri) yang menganggap mereka ini golongan yang terlalu ekstrem dan pengganas, dan lain2 lagi.

Maka, yang lulus akan mendapat sijil pengajian tinggi. Jika tidak lulus sepanjang mengikuti pelajaran di peringkat pengajian tinggi, maka sijil sekolah menengah itulah kelulusannya nanti. Begitu juga halnya dengan sijil-sijil dari sekolah rendah dan menengah.

Saya berbicara tentang ‘Sekolah Kehidupan’ kerana hidup ini tidak lebih daripada tempat mencari bekalan (berupa amalan yang didapati daripada siri pembelajaran di sekolah) untuk menghadapi hari yang pasti (sama ada syurga atau neraka). Kalian boleh saja untuk tidak bersetuju apabila saya mengatakan kehidupan itu ibarat sekolah tetapi berfikirlah sejenak, bukankah manusia itu belajar dan datang matangnya dari pengalaman? Dari pengalaman manusia dapat mengubahsuai (belajar memperbaiki diri atau menyesuaikan diri) untuk mengadaptasi diri dengan kehidupan persekitaran.


Saya tidak mahu berpanjang kalam. Timbulnya niat untuk menitipkan artikel yang mengulas secara dasar ini pun atas permintaan rakan non-muslim yang mahu saya mengulas serba sedikit pandangan saya mengenai kehidupan--sekolah kehidupan. Hmm, saya khuatir artikel ini akan menimbulkan kekeliruan terutamanya pada rakan-rakan non-muslim saya. Namun saya tidak akan menolak sekiranya ada yang meminta saya untuk mengulas artikel yang dititipkan ini dengan lebih terperinci. Akhir kalam, saya sudahi artikel saya ini dengan seruan buat diri sendiri.


Wahai diri! Sungguh dunia ini hanya satu persinggahan. Bermula dari alam roh engkau dihantar ke alam rahim dan bermulanya perjalananmu di alam dunia ini apabila engkau dilahirkan dari rahim ibumu. Seterusnya engkau akan meneruskan perjalanan ke alam barzakh sebelum sampai ke destinasi yang dituju, iaitu alam akhirat. Maka, janganlah engkau hidup di alam yang umpama mimpi ini dengan bermimpi-mimpi. Kelak saat engkau terjaga di alam barzakh, betapa engkau mengerti bahawa tiada lagi daya upayamu untuk mengembalikan masa lalu. Di hadapanmu, sabarlah menanti giliran untuk ditempatkan. Antara syurga dan neraka. Tetapkanlah destinasimu sekarang. Kerana setiap detik yang dilalui di dunia dicatat dalam borang yang akan menentukan tempatmu di akhirat. Engkaulah yang menempahnya! (Dan andai saja diri ini mahu cuba untuk mengerti!)

*Dan hanya ada satu kitab/buku saja yang dapat memberi jaminan kepada pelajar-pelajarnya untuk lulus dengan cemerlang di sekolah, iaitu Al-Quran di samping nota tambahan dari Al-Sunnah.

Sekadar pandangan peribadi..Minta diperbaiki kesilapan diri..Wallahu'alam..

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa Itu Ilmu Perbandingan Agama?

Andai Hati Mampu Berkata-kata...

Antara Lobak, Telur Dan Kopi…