Apa Itu Ilmu Perbandingan Agama?

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang....

 Sejak kebelakangan ini, Kuala Lumpur telah dibanjiri dengan pelbagai dialog antara agama. Tidak kira sama ada dianjurkan oleh universiti-universiti tempatan mahupun yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu. Ini suatu perkembangan yang baik saya kira. Namun masih wujud sebilangan Muslim yang gerun untuk menghadiri dialog-dialog ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan kontroversi dan pertelagahan antara kaum. Allah.. Sampai begitu mereka berfikir? Ya. Mungkin mereka tidak pernah didedahkan dengan suasana sebenar dialog tersebut, maka kitalah yang bertanggungjawab untuk membawa mereka untuk melihat situasi sebenarnya. Atau mungkin golongan ini pernah mengalami pengalaman pahit atau kurang menggembirakan semasa menghadiri mana-mana dialog antara agama. Maka, tugas kitalah untuk mengembalikan keyakinan mereka untuk kembali mendekati ilmu ini.

Saya melihat perkembangan yang sangat baik terhadap Ilmu Perbandingan Agama ini. Semakin ramai rakyat Malaysia terutamanya Muslim menerima ilmu ini sebagai satu keperluan untuk dipelajari. Namun saya ingin menyeru sahabat-sahabat saya dan diri saya sendiri untuk mencabar diri mengajak rakan-rakan non-Muslim untuk turut sama mencintai ilmu ini.

Apa itu Ilmu Perbandingan Agama?
Definisi:
Ilmu Perbandingan Agama yang lebih dikenali sebagai Muqaranah al-Adyan dalam bahasa Arabnya atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Comparative Religion merupakan suatu bidang ilmu yang telah lama berkembang dan mendapat perhatian dalam kalangan umat Islam sejak dahulu lagi. Namun perkembangannya terencat sementelah mula wujudnya hubungan sosial yang baik antara umat Islam dengan bukan Islam.
Terdapat pelbagai definisi yang diberikan oleh para sarjana mengenai definisi ilmu ini. Namun definisi yang dikira paling tepat bagi sesetengah golongan pelapis baru ilmu ini ialah pandangan yang diberikan oleh Prof. Dr. Ahmad Shalabi, iaitu suatu ilmu daripada ilmu pengetahuan untuk memahami gejala-gejala keagamaan yang terdapat pada sesuatu kepercayaan merangkumi persamaan dan perbezaannya.

Makna katanya, ilmu perbandingan agama ini lebih mudah difahami sebagai ilmu pengetahuan mengenai persamaan dan perbezaan sesebuah agama dengan agama lain dari sudut falsafah kepercayaan atau ajaran serta praktikalnya.

Kenapa Perlu Belajar Ilmu Perbandingan Agama?
Mungkin ada sesetengah sahabat saya bertanya, mengapa kita perlu mempelajari agama lain sedangkan Islam itu merupakan agama yang sempurna sebagaimana Firman ALLAH yang bermaksud;

“…Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redha Islam sebagai agamamu…”(Surah Al-Maidah,5:3)

 Ok, cuba teliti pula Firman ALLAH di bawah ini;

Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, ALLAH Maha Mengetahui, Maha Teliti.” (Surah Al-Hujurat, 49:13)
Daripada Surah ke-49 ayat ke-13 di atas, kita telah dimaklumkan bahawa ALLAH telah menjadikan manusia ini dengan pelbagai bangsa yang pastinya setiap bangsa itu memiliki bahasa tersendiri di samping budaya dan agama yang berbeza. Dan tujuan ALLAH menciptakan manusia itu dengan pelbagai bangsa itu adalah untuk saling berkenalan. Dinyatakan juga bahawa orang yang paling mulia di sisi ALLAH ialah orang yang bertaqwa, dan sekali gus menyatakan bahawa agama yang hak atau sahih di sisi ALLAH hanyalah Islam.

Kenapa kita tidak mempelajari bahasa atau budaya mereka untuk berkenal-kenalan? Kenapa mesti belajar tentang agama mereka? Saya tidak mengatakan ‘tidak boleh’ jika kalian ingin mempelajari bahasa dan budaya bangsa lain jika kalian mempunyai kemampuan tersebut. Adalah digalakkan jikalau kemahiran tersebut dapat membantu mengeratkan ukhwah dalam kalangan Muslim (saudara Muslim yang tidak sebangsa dan sebahasa) dan dapat menyebarkan dakwah Islamiyah. Namun kita melihat persepsi dan kepercayaan manusia terhadap sesuatu pada hari ini lebih dipengaruhi oleh kepercayaan beragama mereka. Tidak perlu melihat jauh. Lihat saja diri sendiri. Persepsi kita mengenai memakan babi adalah haram dan kotor. Tidak kira Muslim sebagaimana pun kalian, kalian tetap akan mengatakan makan babi itu haram dan tidak boleh. Tetapi tidak bagi orang Cina atau India yang bukan Muslim. Persepsi ini dipengaruhi oleh pandangan agama sebetulnya. Tidak dapat tidak, pegangan agama begitu mempengaruhi persepsi seseorang tidak kira mereka adalah seorang penganut agama yang taat atau tidak. Tetapi lain pula halnya dengan mereka yang tidak mempercayai wujudnya Tuhan. Mereka ini lain pula pendekatan yang perlu kita gunakan untuk sampaikan Islam.
Oleh yang demikian, agama itulah yang perlu kita kaji melalui kitab-kitab agama mereka. Tujuan kajian yang dilakukan terhadap kitab-kitab tersebut bukanlah untuk mempelajari agama mereka. Tidak! Tetapi hanya untuk menunjukkan kebatilan agama mereka. Dalam al-Quran, iaitu dalam Surah Ali-Imran, 3:64, ALLAH ada berfirman yang bermaksud:
“Katakanlah (Muhammad), “Wahai ahli kitab! Marilah (kita)menuju kepada satu kalimat (pegangan) yang sama antara kami dan kamu, bahawa kita tidak menyembah selain ALLAH dan kita tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun, dan bahawa kita tidak menjadikan satu sama lain tuhan-tuhan selain ALLAH. Jika mereka berpaling maka katakanlah (kepada mereka), “Saksikanlah, bahawa kami adalah orang muslim.”
Dalam ayat di atas, kita disarankan agar mencari persamaan antara agama mereka dengan agama kita. Ini sekali gus merupakan salah satu bukti bahawa perbandingan agama itu adalah dianjurkan dalam Islam. Bagaimana kita boleh menemui persamaan tersebut jika kita tidak membaca (mengkaji) terlebih dahulu kitab mereka?


Pelopor Ilmu Perbandingan Agama.
Dalam sejarah Islam, orang yang pertama membuat perbandingan agama ialah Nabi Ibrahim a.s., yakni apabila Baginda telah melakukan dialog dengan kaumnya yang menyembah berhala. Peristiwa ini telah dirakamkan di dalam Surah Al-Anbiya’, 21: 51-71. Manakala orang yang mula-mula sekali membuat perbandingan antara agama, iaitu antara Islam dengan agama Kristian ialah Nabi Muhammad SAW.

Hal ini diceritakan di dalam Surah Ali-Imran, 3:61. Perkataan mubahalah dalam ayat tersebut telah membuktikan bahawa Nabi Muhammad telah melakukan dialog dengan orang Nasrani.

Penutup.
Ilmu perbandingan agama ini jika dipelajari, selain dapat memantapkan aqidah dengan bukti keindahan dan kebenaran Islam, kita juga dapat memanfaatkannya dalam aktiviti dakwah. Ilmu ini seharusnya menjadi salah satu bekalan para daie di Malaysia untuk berdakwah dengan mereka (non-Muslim). Sekali kita telah mengenali agama mereka, kita akan lebih bersifat hormat-menghormati akan di antara satu sama lain. (Hormat di sini tidak beerti kita redha atau terima agama mereka. Nauzubillah.)
Kita tahu apa yang dilarang dan dianjurkan dalam agama mereka. Kita kenal Tuhan dan ‘tokoh’ dalam agama mereka. Kita tahu dari mana konsep dan historiografi perayaan mereka. Dari sini juga kita akan mendapat lebih banyak modal untuk memulakan perbualan dengan mereka dan tidak akan wujud perasaan ragu-ragu dalam menerima jemputan ke rumah mereka bagi meraikan sesuatu perayaan.
Dan percayalah, apabila anda sudah mengkaji kitab mereka, akan semakin menebal keimanan anda. Jika anda mempunyai pegangan aqidah yang goyah, maka kegoyahan itu akan bertukar menjadi kuat. Yang kuat akan menimbulkan pula rasa cinta. Insya ALLAH..


p/s: Berminat dengan Ilmu Perbandingan Agama? Insya ALLAH, 20 & 21 Mac 2010 ini akan diadakan Kelas Intensif Friendly Comparative Religion (FCR) oleh Islamic Information and Services Foundation (IIS) di Setiawangsa. Yuran penyertaan ialah RM 100 bagi pelajar dan RM120 bagi orang awam. Salah seorang speaker ialah Bro. Shah Kirit.

Wallahu'alam..


 



Ulasan

Muzze berkata…
Agen promote 4 FCR....(^_^)....
.: Si BungaKopi : . berkata…
hari tu tengok siri dialog antara agama kat ukm. banyak dah skrg ni. skang kat tmpat saya pon, baru ptg td je berlaku kritikan dlm dewan kuliah pasal agama kristian
Ummu Syuhada' berkata…
Hari tu saya ada pergi forum yg membincangkan mengenai murtad di UKM..ada seorang non-muslim pertikaikan, nape kita suka salahkan agama lain bila orang Muslim kita murtad sedangkan mereka hanya menjalankan tugas mereka..(tugas menyampaikan kebenaran pada pandangan mereka). tetapi kita orang Muslim ini yg tak menjalankan tugas kita..sebab tu la ada yg murtad..anyway,kritikan terhadap agama lain bleh dbuat tetapi jgn dikritik gerakan dakyah mereka kerana mereka pun seperti kita, menjalankan tggjwb menyampaikan apa yg mereka rasa betul..
Wallahua'lam..

Catatan popular daripada blog ini

Andai Hati Mampu Berkata-kata...

Antara Lobak, Telur Dan Kopi…