Kewajipan Berdakwah....

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang….

Bila disebut tentang dakwah, kebanyakan individu pada hari ini akan menganggap bahawa tugas berdakwah adalah tugas para agamawan. Benarkah begitu? Mari kita kaji dan selidik terlebih dahulu kesbenaran tanggapan tersebut.

Apakah hukum menunaikan solat? Apakah pula hukum menghormati ibu bapa? Kenapa anda mengatakan hukumnya sebegitu? Adakah kerana…Kawan anda yang berkata demikian? Atau kerana solat itu merupakan tiang agama dan tambahan pula solat itu tersenarai dalam Rukun Islam? Bagaimana pula menghormati ibu bapa? Sama bukan hukumnya? Menghormati ibu bapa termasuk dalam senarai Rukun Iman atau Rukun Islam ke? Maka, apakah pula hukum berdakwah?

Jika dilihat, hukum menunaikan solat dan menghormati ibu bapa adalah wajib. Hal ini kerana terdapat di dalam Al-Quran berkenaan ayat-ayat yang mana ALLAH memerintahkan hambanya mengerjakan solat. Begitu juga di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menunjukkan perintah ALLAH agar anak-anak mentaati ibu bapanya, antaranya: (Surah Al-Isra’,17:23) (Surah Al-Ankabut,29:8) (Surah Luqman,31:14). Maka, bagaimana pula dengan hukum berdakwah?

Definisi Dakwah.
Erti dakwah dari segi bahasa ialah menjemput, memanggil, menyampaikan. Manakala dari segi syariat perkataan tersebut membawa makna perjuangan dalam menyampaikan mesej-mesej Islam.

Dakwah vs Islah.
Pendapat ini tidak semestinya tepat dan perlu diikuti. Penggunaan istilah ini hanya sebagai satu term yang boleh diubahsuai mengikut keadaan dan kefahaman individu (mad’u). Tidak perlu pusing (pening kepala) dan bertegang urat. Sebagaimana kita ketahui, dakwah bermaksud menjemput, memanggil atau menyampaikan. Maksud perkataan islah pula ialah membaiki, membetulkan atau meningkatkan. Daripada definisi tersebut, maka kita dapat merumuskan bahawa istilah dakwah tersebut lebih sesuai untuk digunakan bagi tujuan dakwah kepada non-Muslim manakala islah lebih tepat bagi menggambarkan gerak kerja ‘dakwah’ yang dilakukan terhadap orang Muslim sendiri.

Analogi yang pernah diberikan oleh Bro. Shah Kirit dalam menjawab persoalan ini adalah,

Kita tidak akan menggunakan perkataan menjemput atau memanggil untuk masuk ke dalam rumah. Kerana orang tersebut sudah sedia ada di dalam rumah. Perbuatan menjemput itu hanya digunakan bagi menjemput orang-orang yang berada di luar rumah sahaja. Orang yang sedia ada di dalam rumah itu hanya perlu dihidangkan makanan sahaja agar apabila mereka ini pulang, mereka akan membawa hati yang gembira. Jika mereka menjamah makanan yang dihidangkan. Jika tidak, pulanglah mereka dengan kelaparan atau sebagainya.

Hmm…kalau begitu betapa banyaknya kita melakukan kerja-kerja pengislahan. Tetapi bagaimana pula dengan kerja-kerja dakwah?? (Dalam artikel saya ini, saya akan menggunakan perkataan dakwah ini merujuk kepada orang bukan Muslim dan islah kepada sesama Muslim.)

Di dalam Al-Quran, dalam Surah Al-Baqarah, 2:185 ALLAH ada berfirman yang bermaksud:

“Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk dan pembeza (antara yang benar dan yang batil….) "
Al-Quran adalah petunjuk bagi manusia. Manusia di sini bukan merujuk kepada umat Islam semata, tetapi merujuk kepada semua yang bergelar manusia. Tidak kiralah apa pandangan dan pegangan hidup mereka, Al-Quran itu adalah milik mereka yang menjadi panduan hidup. Lantaran itu, dakwah itu wajib apabila ALLAH berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada ALLAH….” (Surah Ali Imran, 3:110)
Kita (umat Islam) telah diberikan penghormatan dan pengiktirafan sebagai umat terbaik. Namun setiap penghormatan itu datang dengan tanggungjawab. Tanggungjawab kita sebagai umat Islam adalah melaksanakan amar makruf nahi mungkar (menyuruh berbuat yang baik, dan mencegah dari yang mungkar). Persoalannya, bagaimana mahu melaksanakan amar makruf nahi mungkar kepada orang non-Muslim?
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ALLAH dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘Sungguh, aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)’ ”(Surah Fussilat, 41:33)
Daripada ayat di atas, menyampaikan Islam kepada orang bukan Islam itu adalah suatu perbuatan yang lebih baik. Jika perbuatan yang disarankan ini dapat kita buat, maka ia telah menjadi amar makruf. Bagaimana pula untuk mencegah kemungkaran? Sesungguhnya, apakah dosa yang telah dilakukan oleh orang-orang bukan Islam yang telah membezakan kita dengan mereka? Dosa syirik bukan? Menduakan ALLAH. Sedangkan tiada Tuhan melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh ALLAH. Dalam Surah An-Nisa’ 4: 116 , ALLAH telah berfirman yang bermaksud:

ALLAH tidak akan mengampuni dosa syirik (mempersekutukan ALLAH dengan sesuatu), dan Dia mengampuni dosa selain itu bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa mempersekutukan (sesuatu) dengan ALLAH, maka sungguh, dia telah tersesat jauh sekali.”

Bukankah dosa syirik itu satu dosa besar? Maka, apabila kita cuba berdakwah kepada orang bukan beragama Islam kita telah melaksanakan nahi mungkar. Allahu akbar!! Begitu ALLAH telah berikan kita kemudahan. Di Malaysia, begitu besarnya peluang kita untuk menjalankan dakwah tidak perlu keliru untuk membezakan Muslim atau tidak (kerana perbezaan warna kulit dan bahasa lagi pun di Malaysia hanya orang Muslim saja yang bertudung. Tidak sama situasinya dengan di Mesir). Apa lagi alasan kita untuk tidak berdakwah?

Tugas dakwah tugas individu tertentu.
Bukankah dalam Surah Ali Imran, ayat 110 (4:110) (seperti yang dijelaskan di atas) bahawa tugas dakwah itu adalah tugas ‘umat Islam’. Perkataan ‘umat Islam’ itu merujuk kepada ‘semua’, bukan ustaz/ah, yang mahir bab-bab agama ini, bukan juga untuk umat Islam yang bertaqwa semata-mata tetapi kesemua yang mengaku dirinya Muslim. Maka, buat apa ditangguh lagi?

Belum cukup ilmu di dada.
Pesan saya, jangan tunggu pandai atau ilmu penuh di dada baru nak berdakwah, kalau begitu sampai mati pun kita tidak akan pandai. Ibarat orang yang nak belajar bermain bola sepak. Kalau nak pandai bermain bola sepak, kena turun padang. Belajar menendang bola di padang. Bukannya belajar teori di dalam kelas saja. Kalau belajar bermain bola sepak di dalam kelas sahaja, alamatnya sampai bila pun tidak akan pandai bermain. Jangankan bermain, menendang bola pun tidak lepas.

Namun, jika kita turun sekarang ke gelanggang dakwah walaupun dengan seribu macam kelemahan, insya ALLAH…ALLAH akan kurniakan kita kekuatan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan diri kita satu persatu. Dan ingatlah, jika satu langkah kita mendekati ALLAH, ALLAH akan mendekati kita dengan 10 dengan 10 langkah. Dan jika kita datang kepada ALLAH, ALLAH akan datang kepada kita dengan berlari.

Dalam hadis sahih Bukhari, Jilid 4, ayat 667 yang diriwayatkan oleh Abullah Ibn Amru bahawa Rasulullah pernah bersabda, “Sampaikanlah daripada aku walaupun satu ayat.”

Kembali kepada persoalan yang sama kemukakan di awal artikel ini. Apakah hukum berdakwah? (Berdakwah-merujuk kepada non-Muslim). Wajib bukan? Jika kita meninggalkan solat, kita akan berdosa. Jika kita menderhaka terhadap ibu bapa juga berdosa. Bagaimana pula jika kita meninggalkan dakwah kepada non-Muslim? Fikir-fikirkan.

Wallahua’alam….

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Andai Hati Mampu Berkata-kata...

Apa Itu Ilmu Perbandingan Agama?

Antara Lobak, Telur Dan Kopi…