Orang Ikhlas Kuat Hatinya...

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Cerita ini sering didengar apabila membicarakan mengenai keikhlasan.  Ia ditulis oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin.  Kisah seorang lelaki soleh yang mendapat berita mengenai sebatang pokok yang menjadi sembahan orang ramai di sebuah kampung.

Dengan semangat amar makruf nahi mungkar,lelaki itu mengambil sebilah kapak dan pergi untuk menebang pokok tersebut.  Di pertengahan jalan dia bertemu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki.  Syaitan menghalangnya dan berlakulah pergelutan.  Lelaki soleh itu dengan mudah mengalahkan syaitan.  Syaitan tidak puas hati lalu berlakulah pergelutan demi pergelutan yang tetap dimenangi oleh lelaki soleh itu.

Akhirnya syaitan mengaku kalah, tetapi ia menukar strategi.  Ia membuat satu tawaran kepada lelaki soleh itu.  Syaitan akan memberikan satu dinar emas pada setiap pagi sekiranya lelaki itu membatalkan niatnya untuk menebang pokok sembahan itu.  Lelaki soleh itu termakan tawaran syaitan, lalu pulang ke rumah.

Esok pagi, bangun daripada tidur didapatinya ada sekeping dinar emas di bawah bantalnya.  Benar, syaitan telah menunaikan janjinya.  Begitulah seterusnya pada hari kedua.  Tetapi pada hari ketiga, dinar emas sudah tidak ada lagi.  Ternyata syaitan sudah mula menipu.

Berang dengan perlakuan syaitan, lelaki soleh itu mencapai kapaknya untuk meneruskan niat awalnya untuk menebang pokok sembahan.  Di pertengahan jalan, syaitan yang menyamar itu menghalangnya lagi dan berlakulah pergelutan.  Kali ini lelaki soleh itu kalah.  Dia bangun dan mencuba sekali lagi, dia tetap kalah.

Ketika itu dia bertanya kenapa dia kalah dan adakah lawannya sudah semakin gagah?  Syaitan menjawab, "Engkau kalah kerana kali ini niatmu untuk mencegah kemungkaran bukan lagi kerana ALLAH, tetapi kerana dinar emas."

Ya, lelaki itu mengakui dia menjadi lemah kerana niatnya kali ini sudah tidak ikhlas.  Terbuktilah bahawa keikhlasan itu adalah suatu kekuatan dan kehormatan.



p/s:  Artikel ini dipetik dari Majalah Solusi (Isu No.11)...Sila rujuk ruangan Beduk Diketuk, Seorang Jurutera di Atas Bukit, muka surat 34 untuk mengetahui cerita yang penuh pengajaran ini..Sesungguhnya artikel ini disalin untuk perkongsian hati dan peringatan buat diriku yang mudah lupa..Wallahualam..



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa Itu Ilmu Perbandingan Agama?

Andai Hati Mampu Berkata-kata...

Antara Lobak, Telur Dan Kopi…